Tuesday, 31 December 2013

Selamat Tahun Baru!





Alhamdulillah..

Itulah ayat yang pertama aku ucapkan setelah jarum jam menginjak ke detik 12.01 malam. Menandakan sudah memasuki tahun baru. Tahun 2014, meninggalkan tahun 2013 dengan seribu satu nostalgia. Sambutan tahun baru disambut meriah dari segenap sudut. Seakan tidak percaya, begitu pantas masa berlalu.
Setiap kali tahun baru, pasti mengingatkan aku kepada kenangan sewaktu masih belajar di Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP). Pelbagai perasaan yang dirasai. Kebiasaannya aku akan bersama dengan sahabat handai untuk bercerita mengenai azam tahun baru masing-masing. Sudah tentu masing-masing sentiasa inginkan kejayaan terus dilakar dan sentiasa berkembang setiap kali hadirnya tahun baru.
Tahun baru. Azam baru. Semangat baru. Semoga kejayaan terus mengiringi dan mengukir pelbagai nostalgia indah!

Saturday, 21 December 2013

bawal oh bawal..






Jam menunjukkan hampir ke detik 1 tengahari. Sedang asyik aku membuat latihan dan kerja yang diberikan oleh pensyarah, tiba-tiba perut berkeroncong minta di isi. Tanpa melengahkan masa lagi aku mengajak rakan-rakan untuk terus menuju ke kafetaria kolej yang menjual pelbagai hidangan. Semua lauk-pauk yang dihidangkan nampak begitu menyelerakan, lebih-lebih lagi perutku masih belum terisi dengan apa-apa makanan sejak dari pagi tadi. Tiba-tiba mataku tertancap pada satu hidangan yang terus membuatkan aku tersenyum sendirian.Ya, itulah lauk ikan bawal. Ikan bawal yang membawa kembali kenangan sewaktu umurku masih lagi di sekolah rendah. Pada masa itu secara tidak langsung telah menunjukkan pemikiran kanak-kanakku yang begitu terserlah dan hanya menurutkan kata hati sahaja. Masakan tidak, masihku ingat lagi ketika itu jiran sebelah rumahku telah mengajak aku dan kakakku untuk makan tengahari dirumah mereka. Ketika itu lauk yang dihidangkan oleh jiranku adalah ikan bawal masak kicap. Oleh kerana aku begitu berselera menikmati lauk ikan bawal yang telah dihidangkan mereka pada waktu itu,secara spontan aku pun berkata "ermmm..sedapnye ikan ni..nanti bila adik dah besar nanti adik nak beli ikan ni lah.."  lalu membuatkan semua yang ada dimeja makan waktu itu ketawa terbahak-bahak. Lantas diminda kecilku ketika itu berkata, "apa salahnya jika aku ingin bercita-cita untuk membeli ikan bawal ketika besar nanti?" Namun, apabila umurku sudah menginjak dewasa dan semakin matang, barulah aku tahu bahawa monologku itu terlalu kebudak-budakkan. Walhal, jika dilihat dimana-mana kedai atau pasar terdapat begitu banyak lambakkan ikan bawal yang dijual. Kini aku mulai faham, akal pemikiran kanak-kanak sememangnya tidak begitu panjang sepertimana orang dewasa. Bawal oh bawal..

Wednesday, 4 December 2013

Sahabat kecilku




Hari Raya Aidilfitri telah beberapa bulan berlalu namun, ingatanku masih segar teringatkan suatu peristiwa.
Setiap tahun, seluruh umat Islam pasti akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa. Aku juga tidak melepaskan peluang menyambutnya bersama-sama ahli keluarga di kampung. Pada hari raya pertama aku mengikut kakakku berjalan ke rumah jiran-jiran. Pada hari raya kedua barulah aku dan kakakku pulang ke kampung. 
Pagi itu, aku begitu sibuk membantu kakakku di dapur tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam. Aku tergesa-gesa menjenguk siapakah yang datang bertandang. Alangkah terkejutnya aku apabila orang yang bertandang itu adalah sahabat karibku sejak kecil. Hampir menangis aku dibuatnya. Masakan tidak, kami telah membawa haluan masing-masing semenjak berumur 10 tahun. Setiap kali pulang ke kampung kami tidak berpeluang untuk bertemu dek kerana terlalu sibuk dengan urusan  masing-masing. Kini, setelah hampir lebih sepuluh tahun, kami bertemu kembali. Gembira sungguh rasa hatiku tak dapat digambarkan. Pelbagai kisah yang kami bualkan. Kenangan waktu kecil kami imbau kembali. Begitu banyak kenangan manis. Apa yang lebih mengejutkan lagi, sahabatku hadir membawa perkabaran gembira. Sahabatku bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Aku berasa begitu teruja mendengar perkabaran itu. Di dalam hati, aku mengucapkan syukur dan mendoakan agar perjalanan majlis sahabatku mendirikan masjidnya tidak lama lagi berjalan lancar dan semoga sahabatku berbahagia disamping yang tersayang.  




Saturday, 30 November 2013

Resepi rahsia..





Menjelang waktu petang, hidangan kuih-muih adalah satu perkara rutin yang dilakukan oleh rakyat Malaysia. Pada suatu petang, aku telah membeli donat yang dijual sendiri oleh rakan sebilikku. Donat yang dijual olehnya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Sehinggakan ramai pelajar-pelajar lain yang turut menempah dari awal lagi dek kerana takut kehabisan. Siapa cepat,dia dapat. Begitulah keadaannya setiap kali donat dijual. Pasti laku. Sehinggakan ramai rakan-rakanku yang lain turut tertanya-tanya apakah resepi donat itu. Lalu aku pun bertanya kepada rakan sebilikku itu, bolehkah sekiranya aku ingin meminta resipi donat tersebut. Tanpa banyak soal, rakanku terus memberikan resepi donatnya. Dia sangat bermurah hati untuk berkongsi resipi. Keadaan itu mengingatkan aku tentang satu kejadian sebelum ini, dimana aku pernah meminta resepi daripada makcik yang menjual murtabak mini di sebuah pasar malam. Aku begitu gemar membeli murtabak mini itu setiap kali berkesempatan untuk singgah ke pasar malam tersebut. Maka disebabkan itulah, aku begitu berminat untuk mengetahui apakah resepi murtabak mini itu. Namun, ternyata apa yang aku harapkan tidak tercapai apabila makcik yang menjual murtabak mini itu enggan memberikan resepi beliau. Pada fikiranku, mungkin makcik tersebut berasa risau jika aku menjadi pesaingnya kelak. Hehehe.. tidak baik sungguh aku berfikiran begitu bukan? Mungkin makcik tersebut terlalu sibuk pada waktu itu, masakan beliau sempat pula untuk menerangkan resepinya kepadaku. Aku pula kelihatan masih terlalu muda, jika makcik itu memberikan resepinya pun, tidak mungkin menjadi seperti apa yang diinginkan. Cuma aku berpendapat, tiada salahnya jika kita bermurah hati untuk berkongsi resepi. Namun, sinonimnya keadaan itu sememangnya menjadi perkara biasa kepada para peniaga makanan untuk merahsiakan resepi mereka. Ini adalah bagi menjaga hak cipta dan kualiti jualan mereka dalam jangka masa yang panjang. Aku menyimpan hasrat untuk mempunyai satu resepi tersendiri pada masa akan datang. Aku juga pasti akan berkongsi resepiku jika ada seseorang yang benar-benar berminat untuk mengetahuinya. Sharing is Caring! :)

Video yang begitu memberikan makna..

Kelas penulisan kreatif pada pagi ini bermula seperti biasa. Aku tekun mendengar setiap bait-bait ilmu yang diberikan oleh Prof Dr Mawar. Jam menunjukkan sudah hampir ke detik 9.40 pagi dan pada waktu-waktu begini selalunya prof akan memberikan kata-kata penutup untuk mengakhiri syarahan beliau. Secara tiba-tiba, prof berkata sambil menutup lampu kelas " Baiklah sekarang saya mahu kamu semua hayati video ini". Aku bersama rakan-rakan agak tidak sabar menanti apakah video yang bakal ditayangkan oleh prof. Maka prof terus membuka fail yang mengandungi video tersebut. Tatkala video itu diputarkan, tidak semena-mena dadaku menjadi sebak. Terasa seperti ingin menangis. Ingin menangis kerana video tersebut memberikan seribu satu nostalgia kepada diriku. Tajuk video tersebut ialah "Because i'm a girl"  dinyanyikan oleh kumpulan penyanyi wanita dari Korea iaitu KISS. Klip video tersebut memaparkan sebuah cerita pendek berkenaan kisah cinta yang begitu menyentuh perasaan. Sepanjang video tersebut ditayangkan, fikiranku melayang. Terkenangkan saat-saat aku masih bekerja di 7-eleven pada suatu ketika dahulu. Pada waktu itu aku terlalu meminati lagu-lagu Korea. Salah satu lagu yang menjadi kegemaranku pada waktu itu adalah video tersebut. Aku kerap memutarkan lagu ini ketika bekerja mahupun sudah habis waktu kerja. Sehinggakan aku sudah terhafal jalan cerita yang terdapat didalam klip video lagu tersebut. Sudah hampir 5 tahun kenangan itu berlalu. Kini, aku benar-benar tidak menyangka yang aku telah menontonnya kembali. Seakan mahu mengalir air mata. Tapi aku tahan sahaja. Apa yang mampu aku lakukan ialah melontarkan senyuman. Aku tersenyum kerana tidak menyangka, aku menonton semula video tersebut setelah bertahun-tahun berlalu. Video yang telah mengimbau kembali zaman kegemilanganku sebagai remaja. Nostalgia yang begitu indah :)
Inilah video tersebut..selamat menonton!









  

Monday, 11 November 2013

Hanya kerana air..





Macam biasa, hari minggu adalah hari untuk mendobi baju yang dah menggunung bak gunung Everest.hehe..
Tatkala semangat kian berkobar-kobar nak mendobi tiba-tiba terdengar salah seorang rakanku menjerit" air takde...!!!" haa...itu satu berita yang kurang enak untuk didengari. Bakul yang dipenuhi dengan kain itu aku pandang sepi. Hambar. Tanpa melengahkan masa lagi aku terus mengajak beberapa orang rakanku yang lain untuk pergi mencari sumber air.
Maka, misi pencarian air pun bermula. Semasa dalam perjalanan mencari air itu terus membuatkan aku teringat kembali zaman persekolahan dahulu. Masakan tidak, misi mencari air telah lama menjadi aktiviti rutin terutama bagi pelajar yang duduk di asrama. Seolah-olah sudah menjadi satu tradisi. Namun, hikmahnya ialah dapat memberikan kesedaran untuk kita lebih menghargai air. Pelbagai kenangan tercipta disaat bersama rakan-rakan untuk mencari sumber air. Secara tidak langsung juga dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain. Hanya kerana air, pelbagai nostalgia menyeronokkan tercipta antara aku dengan rakan-rakanku dan tidak akan aku lupakan sampai bila-bila..

Sunday, 10 November 2013

Lawatan ke Muzium Coklat !!!



Muzium Coklat?? yaa...aku pasti ramai yang masih belum mengetahui tentang kewujudan Muzium Coklat.
Muzium ini terletak di Kota Damansara. Baru-baru ini aku berpeluang untuk membuat lawatan sambil belajar bagi subjek Penulisan Kreatif diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mawar binti Safei selaku pensyarah subjek ini. Aku berasa amat teruja untuk mengetahui apakah yang terdapat di dalam muzium tersebut. Sebaik sahaja sampai disana, aku dan rakan-rakan telah diberikan serba sedikit informasi tentang negara yang menjadi pengeluar terbesar coklat iaitu Afrika. Pelbagai maklumat berguna yang dapat diperolehi terutamanya apabila dapat melihat sendiri bagaimana cara pemprosesan coklat dari peringkat awal sehingga akhir. Di muzium ini juga kami berpeluang membeli pelbagai jenis coklat yang turut disediakan untuk dijual kepada para pelancong yang hadir. Pengalaman ini adalah amat berharga dan semestinya akan menjadi nostalgia semanis coklat yang sukar untuk dilupakan. Jadi, tunggu apa lagi, jom melawat ke Muzium Coklat hari ini juga!! :)

Thursday, 17 October 2013

Kartun lama vs kartun baru





konna koto ii na
dekitara ii na
anna yume konna yume ippai aru kedo
minna minna minna
kanaete kureru
fushigina POKKE de kanaete kureru
sora wo jiyuu ni tobitai na
(hai! takekoputaa!)
AN AN AN
tottemo daisuki
DORAEMON...
terdengar nada dering dari telefon bimbit salah seorang rakanku  membuatkan aku teringatkan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Siapa yang tidak pernah menonton cerita doraemon? Jika yang lahir pada tahun 90 an sudah kurang minatnya terhadap kartun seperti doraemon, dragon ball, sailormoon dan lain-lain lagi. Bahkan mungkin ada yang tidak mengetahui langsung tentang kewujudan cerita kartun sebegini. 
Apa yang istimewanya mengenai kartun-kartun lama ialah jalan cerita yang lebih ringkas dan mudah untuk difahami oleh kanak-kanak. Selain itu, kartun lama juga turut menerapkan nilai-nilai murni dalam penceritaan.  
Bukan bermaksud cerita kartun pada zaman sekarang tidak bagus, cuma jalan cerita yang dipaparkan kelihatan agak rumit dan sukar untuk difahami. Akibatnya jalan penceritaan dan mesej yang terdapat di dalam kartun tersebut tidak dapat disampaikan dengan baik.   
Kadangkala memang cerita kartun dianggap tidak penting dan mengarut bagi sesetengah pihak, namun terpulang pada seseorang individu tersebut untuk menilai elemen-elemen positif yang terdapat dalam setiap cerita kartun yang ditonton. Secara tidak langsung, cerita kartun juga telah banyak membantu dalam membina sikap positif dalam diri kanak-kanak yang sedang membesar seperti sikap tolong-menolong, menerapkan nilai kekeluargaan, persahabatan dan pelbagai lagi. Antara cerita kartun yang ada pada masa kini ialah contohnya seperti upin dan ipin, wonderpet dan banyak lagi.      

Wednesday, 16 October 2013

Patah hati patahlah raket




Suratkhabar yang baru sahaja aku beli pada pagi tadi dibelek-belek lagi pada sebelah petang."Eh? ada siaran langsung perlawanan badminton rupa-rupanye.." aku mengomel sendirian. Di dada akhbar tertera jadual perlawanan akhir di antara Lee Chong Wei selaku pemain no 1 dunia, yang menjadi kebanggaan Malaysia  bakal berentap dengan Lin Dan, pemain yang juga tidak kurang hebatnya dari China.
Tanpa melengah-lengahkan masa lagi aku terus menyusun langkah menuju ke televisyen yang terletak ditengah-tengah ruang tamu. Siaran tv2 telah aku buka untuk menyaksikan perlawanan yang bakal berlangsung tepat pada pukul 6.30 petang.
Seperti biase, tidak lengkaplah jika aku menonton televisyen tanpa makanan ringan ditangan. Aku telah setia terpacak di hadapan televisyen sejak jam 6 petang lagi. Ya, aku kelihatan seperti sangat fanatik dengan perlawanan badminton. Ini bukannya kali pertama, bahkan kakakku juga sudah faham benar dengan minatku yang agak mendalam terhadap dunia sukan badminton. Aku sering berangan-angan ingin bermain dengan salah seorang pemain-pemain badminton yang terkenal dunia itu. Salah seorang pemain badminton yang menjadi pilihan aku adalah pemain dari negara China iaitu Wang Shi Xian. Sudah semestinya aku turut mengagumi Lee Chong Wei yang tidak dapat disangkal lagi kehandalannya dalam menaikkan dan mengharumkan nama Malaysia dimata didunia. Salah satu perkara yang tidak dapat aku lupakan ketika menonton perlawanan badminton ialah mendengar ulasan yang kadangkala kedengaran agak lucu dari pengulas-pengulas sukan yang terlibat. "Patah hati patahlah raket" demikianlah kata salah seorang pengulas perlawanan badminton itu lalu menyebabkan aku rasa ingin ketawa mendengarnya. Sehinggalah sekarang aku masih lagi teringat-ingat kata-kata pengulas itu setiap kali menonton perlawanan badminton.

Wednesday, 9 October 2013

Penangan nasi lemak..




Setiap kali aku pulang ke rumah kakakku, jika mempunyai waktu yang sesuai kami sekeluarga akan pergi berkelah di pantai ataupun sungai. Tidak lengkaplah jika perkelahan tidak disertakan sekali dengan bekalan sendiri yang dibawa dari rumah. Pada hari tersebut, kakakku yang begitu pakar dalam bidang masakan telah membuat menu yang special iaitu nasi lemak. Oleh kerana aku begitu meminati nasi lemak, kakakku telah membawa bekalan dengan begitu banyak sekali. Setelah siap bermandi manda, tanpa melengahkan masa lagi aku terus membuka dan memakan bekalan yang dibawa dengan penuh kenikmatan. Namun, kenikmatan itu hanya bersifat sementara apabila dengan secara tiba-tiba sahaja perut aku berasa tidak selesa dan lebih mencemaskan lagi kerana di kawasan sungai tersebut tidak disediakan tandas untuk pelancong. Akibat penangan nasi lemak itu, aku merasakan perutku telah mula meragam. Namun aku amat bernasib baik, kerana kakakku telah membawa minyak angin dan disitu terdapat tempat yang agak terlindung untuk aku menyapu minyak angin tersebut tanpa berasa segan silu. Selepas  dari kejadian itu, aku tidak lagi berani untuk makan nasi lemak sebelum pergi berkelah  ataupun sebelum menaiki bas terutamanya jika menuju ke mana-mana destinasi yang jauh.

Persembahan yang mencemaskan..



Seperti kebiasaan, perjumpaan dengan ahli-ahli kelab dan persatuan akan diadakan bagi mengatur program kolej yang bakal dilaksanakan tidak berapa lama lagi. Dalam kekecohan masing-masing melontarkan idea-idea secara spontan salah seorang daripada ahli telah mencadangkan untuk membuat persembahan tarian. Persembahan tarian? Oohh..tidak..aku menjadi salah seorang ahli yang membantah idea tersebut dengan penuh semangat. Ya, memang aku sengaja membantah. Ini kerana persembahan tarian sering membuatkan aku teringat kembali zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu. Waktu itu aku baru sahaja menghabiskan sesi pra sekolah atau lebih dikenali sebagai tadika kemas. Dipendekkan cerita, aku salah seorang pelajar terpilih untuk mengadakan persembahan tarian bagi meraikan "konvokesyen" tadika itu. Apabila telah tiba masa persembahan sebenar, pada mulanya aku begitu yakin dapat melakukan dengan terbaik namun satu kejadian telah terjadi dan membuat aku tidak pernah lupa tentang kejadian itu.Masakan tidak, tatkala sedang asyik menari di atas pentas,secara tiba-tiba selipar yang aku pakai telah tersangkut pada langsir yang menjadi tirai pentas. Pada waktu tersebut aku berusaha mencabut selipar tersebut secara diam-diam namun tetap tidak berhasil.Secara spontan dan tanpa berfikir panjang, aku terus menanggalkan selipar tersebut dari kakiku dan meneruskan tarian dengan berkaki ayam sahaja. Waktu itu adalah detik yang mencemaskan kerana aku masih lagi di atas pentas untuk membuat persembahan.Aku tahu rakan-rakanku yang lain turut menyedari kejadian tersebut. Seusai sahaja persembahan, mereka telah bertanyakan kepadaku apakah punca kejadian itu berlaku. Alasan yang aku berikan membuatkan rakan-rakanku ketawa terbahak-bahak. Alasanku hanyalah satu, selipar tersangkut pada langsir. Disebabkan oleh kejadian itu, aku tidak lagi berani untuk membuat persembahan tarian. Aku akui, secara peribadi aku mempunyai minat untuk menari, tetapi bukanlah untuk dijadikan tontonan umum. Bagi aku apabila seseorang itu menari dengan penuh semangat, secara tidak langsung dapat menghilangkan stress dalam diri seseorang dan juga turut dapat memberikan kepuasan diri apabila dapat menghafal langkah-langkah tarian dengan begitu kemas dan teratur.  

Cita-citaku yang terpendam..





Matahari sudah mula menunjukkan muka tetapi aku masih lagi bermalas-malasan untuk menyiapkan diri pergi ke kuliah pagi. Seusai sahaja solat subuh, tanpa sedar aku telah tertidur semula. Jam sudah menginjak ke angka 8. Aku masih lagi terhegeh-hegeh memakai bedak yang umpama kawah di atas bulan, sudah semestinya bedak lama yang lama itu akan ditamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi sejurus sahaja bila aku dapat membeli bedak baru nanti. Aku melihat jadual kelas yang bertempat di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Langkah yang disusun laju masih tidak dapat memberikan aku keputusan yang memuaskan apabila telah tiba lewat di kelas. Aku melihat dari ekor mataku seorang pensyarah yang kelihatan begitu berkaliber telah pun berdiri tegak dihadapan untuk memberikan syarahannya. Aku mula mengambil tempat dan sudah semestinya di meja belakang jika pelajar hadir lewat. Subjek ini aku ambil kerana tajuknya yang memberikan aku perasaan ingin tahu apakah silibus yang bakal di ajar oleh pensyarah ini. Setelah melihat perincian tugas melalui iFolio tempoh hari, makin meyakinkan aku untuk hadir ke kelas ini. Masakan tidak, kerana aku sebenarnya dalam diam begitu berkeinginan untuk menghasilkan novel sendiri. Namun aku tahu, proses bagi menghasilkan karya sesebuah novel bukanlah satu kerja yang mudah untuk dilaksanakan. Nah, hari ini aku berasa begitu berbangga kerana dapat berjumpa dengan salah seorang penulis novel yang begitu disegani, Prof. Madya Dr. Mawar binti Safei. Beliau menggunakan nama pena yang dikenali sebagai Mawar Shafei. Sememangnya nama beliau tidak asing lagi dalam bidang penulisan. Gaya pengajaran beliau secara tidak langsung menunjukkan beliau seorang yang begitu kreatif dan berjiwa dalam menulis bagi melahirkan karya-karya tersendiri dalam dunia penulisan. Aku begitu kagum dan tidak dapat tidak, aku berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi cerita dengan seorang penulis yang tanpa jemu mengeluarkan ilham-ilham yang kreatif lagi bermotivasi. Jauh di sudut hati, aku berharap suatu hari nanti aku juga dapat menjadi seorang penulis yang berkaliber seperti beliau. Tidak lokek untuk mencurahkan ilmu didada. Secara tidak langsung telah mengimbau kembali kenangan tentang cita-citaku yang terpendam sejak dulu, iaitu ingin menjadi seorang penulis novel yang berbakat suatu hari nanti. Semoga menjadi realiti. InsyaAllah..

kelahiran blog nostalgia bagi subjek Penulisan Kreatif..





Assalamualaikum sebagai pembuka bicara. Blog ini dihasilkan adalah bertujuan untuk mengikuti arahan kerja yang diwajibkan kepada setiap pelajar yang mengambil subjek Penulisan Kreatif (SKMM 2083) set 2, bagi sesi 2013/2014. Prof. Madya Dr. Mawar binti Safei adalah pensyarah bagi subjek ini. Tema yang beliau ingin kami lakukan dalam proses menghasilkan blog ini ialah nostalgia. Maka, akan tercetuslah pelbagai cerita yang mengimbau kembali nostalgia lama. Terima kasih kepada anda yang sudi singgah dan seterusnya membaca setiap entry yang bakal saya coretkan selepas ini. Saya juga amat berbesar hati sekiranya anda sudi memberikan komen di ruangan komen yang telah disediakan. Selamat membaca! :)