Wednesday, 9 October 2013

Persembahan yang mencemaskan..



Seperti kebiasaan, perjumpaan dengan ahli-ahli kelab dan persatuan akan diadakan bagi mengatur program kolej yang bakal dilaksanakan tidak berapa lama lagi. Dalam kekecohan masing-masing melontarkan idea-idea secara spontan salah seorang daripada ahli telah mencadangkan untuk membuat persembahan tarian. Persembahan tarian? Oohh..tidak..aku menjadi salah seorang ahli yang membantah idea tersebut dengan penuh semangat. Ya, memang aku sengaja membantah. Ini kerana persembahan tarian sering membuatkan aku teringat kembali zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu. Waktu itu aku baru sahaja menghabiskan sesi pra sekolah atau lebih dikenali sebagai tadika kemas. Dipendekkan cerita, aku salah seorang pelajar terpilih untuk mengadakan persembahan tarian bagi meraikan "konvokesyen" tadika itu. Apabila telah tiba masa persembahan sebenar, pada mulanya aku begitu yakin dapat melakukan dengan terbaik namun satu kejadian telah terjadi dan membuat aku tidak pernah lupa tentang kejadian itu.Masakan tidak, tatkala sedang asyik menari di atas pentas,secara tiba-tiba selipar yang aku pakai telah tersangkut pada langsir yang menjadi tirai pentas. Pada waktu tersebut aku berusaha mencabut selipar tersebut secara diam-diam namun tetap tidak berhasil.Secara spontan dan tanpa berfikir panjang, aku terus menanggalkan selipar tersebut dari kakiku dan meneruskan tarian dengan berkaki ayam sahaja. Waktu itu adalah detik yang mencemaskan kerana aku masih lagi di atas pentas untuk membuat persembahan.Aku tahu rakan-rakanku yang lain turut menyedari kejadian tersebut. Seusai sahaja persembahan, mereka telah bertanyakan kepadaku apakah punca kejadian itu berlaku. Alasan yang aku berikan membuatkan rakan-rakanku ketawa terbahak-bahak. Alasanku hanyalah satu, selipar tersangkut pada langsir. Disebabkan oleh kejadian itu, aku tidak lagi berani untuk membuat persembahan tarian. Aku akui, secara peribadi aku mempunyai minat untuk menari, tetapi bukanlah untuk dijadikan tontonan umum. Bagi aku apabila seseorang itu menari dengan penuh semangat, secara tidak langsung dapat menghilangkan stress dalam diri seseorang dan juga turut dapat memberikan kepuasan diri apabila dapat menghafal langkah-langkah tarian dengan begitu kemas dan teratur.  

No comments:

Post a Comment