Matahari sudah mula menunjukkan muka tetapi aku masih lagi bermalas-malasan untuk menyiapkan diri pergi ke kuliah pagi. Seusai sahaja solat subuh, tanpa sedar aku telah tertidur semula. Jam sudah menginjak ke angka 8. Aku masih lagi terhegeh-hegeh memakai bedak yang umpama kawah di atas bulan, sudah semestinya bedak lama yang lama itu akan ditamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi sejurus sahaja bila aku dapat membeli bedak baru nanti. Aku melihat jadual kelas yang bertempat di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Langkah yang disusun laju masih tidak dapat memberikan aku keputusan yang memuaskan apabila telah tiba lewat di kelas. Aku melihat dari ekor mataku seorang pensyarah yang kelihatan begitu berkaliber telah pun berdiri tegak dihadapan untuk memberikan syarahannya. Aku mula mengambil tempat dan sudah semestinya di meja belakang jika pelajar hadir lewat. Subjek ini aku ambil kerana tajuknya yang memberikan aku perasaan ingin tahu apakah silibus yang bakal di ajar oleh pensyarah ini. Setelah melihat perincian tugas melalui iFolio tempoh hari, makin meyakinkan aku untuk hadir ke kelas ini. Masakan tidak, kerana aku sebenarnya dalam diam begitu berkeinginan untuk menghasilkan novel sendiri. Namun aku tahu, proses bagi menghasilkan karya sesebuah novel bukanlah satu kerja yang mudah untuk dilaksanakan. Nah, hari ini aku berasa begitu berbangga kerana dapat berjumpa dengan salah seorang penulis novel yang begitu disegani, Prof. Madya Dr. Mawar binti Safei. Beliau menggunakan nama pena yang dikenali sebagai Mawar Shafei. Sememangnya nama beliau tidak asing lagi dalam bidang penulisan. Gaya pengajaran beliau secara tidak langsung menunjukkan beliau seorang yang begitu kreatif dan berjiwa dalam menulis bagi melahirkan karya-karya tersendiri dalam dunia penulisan. Aku begitu kagum dan tidak dapat tidak, aku berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi cerita dengan seorang penulis yang tanpa jemu mengeluarkan ilham-ilham yang kreatif lagi bermotivasi. Jauh di sudut hati, aku berharap suatu hari nanti aku juga dapat menjadi seorang penulis yang berkaliber seperti beliau. Tidak lokek untuk mencurahkan ilmu didada. Secara tidak langsung telah mengimbau kembali kenangan tentang cita-citaku yang terpendam sejak dulu, iaitu ingin menjadi seorang penulis novel yang berbakat suatu hari nanti. Semoga menjadi realiti. InsyaAllah..
Sdr Rosmarina
ReplyDeleteterima kasih kerana mendaftar kursus ini dengan niat yang tulus. semoga sdr mendapat manfaat dan berjaya menjadi penulis seperti yang dicita-citakan.
ps: Mawar Safei ialah nama kelahiran saya dan bukan nama pena.
Terima kasih Prof kerana sudi melihat blog saya. Maaf atas kesilapan saya menulis nama kelahiran Prof sebagai nama pena.Sejujurnya saya amat menyukai cerpen-cerpen yang memaparkan kisah liku-liku sebuah kehidupan. Saya berharap dapat mempelajari pelbagai perkara baru daripada Prof, seterusnya memperbaiki cara pengolahan cerita dan penggunaan gaya bahasa yang lebih sesuai dalam menghasilkan cerpen.
ReplyDelete