Setiap kali aku pulang ke rumah kakakku, jika mempunyai waktu yang sesuai kami sekeluarga akan pergi berkelah di pantai ataupun sungai. Tidak lengkaplah jika perkelahan tidak disertakan sekali dengan bekalan sendiri yang dibawa dari rumah. Pada hari tersebut, kakakku yang begitu pakar dalam bidang masakan telah membuat menu yang special iaitu nasi lemak. Oleh kerana aku begitu meminati nasi lemak, kakakku telah membawa bekalan dengan begitu banyak sekali. Setelah siap bermandi manda, tanpa melengahkan masa lagi aku terus membuka dan memakan bekalan yang dibawa dengan penuh kenikmatan. Namun, kenikmatan itu hanya bersifat sementara apabila dengan secara tiba-tiba sahaja perut aku berasa tidak selesa dan lebih mencemaskan lagi kerana di kawasan sungai tersebut tidak disediakan tandas untuk pelancong. Akibat penangan nasi lemak itu, aku merasakan perutku telah mula meragam. Namun aku amat bernasib baik, kerana kakakku telah membawa minyak angin dan disitu terdapat tempat yang agak terlindung untuk aku menyapu minyak angin tersebut tanpa berasa segan silu. Selepas dari kejadian itu, aku tidak lagi berani untuk makan nasi lemak sebelum pergi berkelah ataupun sebelum menaiki bas terutamanya jika menuju ke mana-mana destinasi yang jauh.
No comments:
Post a Comment