Thursday, 17 October 2013

Kartun lama vs kartun baru





konna koto ii na
dekitara ii na
anna yume konna yume ippai aru kedo
minna minna minna
kanaete kureru
fushigina POKKE de kanaete kureru
sora wo jiyuu ni tobitai na
(hai! takekoputaa!)
AN AN AN
tottemo daisuki
DORAEMON...
terdengar nada dering dari telefon bimbit salah seorang rakanku  membuatkan aku teringatkan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Siapa yang tidak pernah menonton cerita doraemon? Jika yang lahir pada tahun 90 an sudah kurang minatnya terhadap kartun seperti doraemon, dragon ball, sailormoon dan lain-lain lagi. Bahkan mungkin ada yang tidak mengetahui langsung tentang kewujudan cerita kartun sebegini. 
Apa yang istimewanya mengenai kartun-kartun lama ialah jalan cerita yang lebih ringkas dan mudah untuk difahami oleh kanak-kanak. Selain itu, kartun lama juga turut menerapkan nilai-nilai murni dalam penceritaan.  
Bukan bermaksud cerita kartun pada zaman sekarang tidak bagus, cuma jalan cerita yang dipaparkan kelihatan agak rumit dan sukar untuk difahami. Akibatnya jalan penceritaan dan mesej yang terdapat di dalam kartun tersebut tidak dapat disampaikan dengan baik.   
Kadangkala memang cerita kartun dianggap tidak penting dan mengarut bagi sesetengah pihak, namun terpulang pada seseorang individu tersebut untuk menilai elemen-elemen positif yang terdapat dalam setiap cerita kartun yang ditonton. Secara tidak langsung, cerita kartun juga telah banyak membantu dalam membina sikap positif dalam diri kanak-kanak yang sedang membesar seperti sikap tolong-menolong, menerapkan nilai kekeluargaan, persahabatan dan pelbagai lagi. Antara cerita kartun yang ada pada masa kini ialah contohnya seperti upin dan ipin, wonderpet dan banyak lagi.      

Wednesday, 16 October 2013

Patah hati patahlah raket




Suratkhabar yang baru sahaja aku beli pada pagi tadi dibelek-belek lagi pada sebelah petang."Eh? ada siaran langsung perlawanan badminton rupa-rupanye.." aku mengomel sendirian. Di dada akhbar tertera jadual perlawanan akhir di antara Lee Chong Wei selaku pemain no 1 dunia, yang menjadi kebanggaan Malaysia  bakal berentap dengan Lin Dan, pemain yang juga tidak kurang hebatnya dari China.
Tanpa melengah-lengahkan masa lagi aku terus menyusun langkah menuju ke televisyen yang terletak ditengah-tengah ruang tamu. Siaran tv2 telah aku buka untuk menyaksikan perlawanan yang bakal berlangsung tepat pada pukul 6.30 petang.
Seperti biase, tidak lengkaplah jika aku menonton televisyen tanpa makanan ringan ditangan. Aku telah setia terpacak di hadapan televisyen sejak jam 6 petang lagi. Ya, aku kelihatan seperti sangat fanatik dengan perlawanan badminton. Ini bukannya kali pertama, bahkan kakakku juga sudah faham benar dengan minatku yang agak mendalam terhadap dunia sukan badminton. Aku sering berangan-angan ingin bermain dengan salah seorang pemain-pemain badminton yang terkenal dunia itu. Salah seorang pemain badminton yang menjadi pilihan aku adalah pemain dari negara China iaitu Wang Shi Xian. Sudah semestinya aku turut mengagumi Lee Chong Wei yang tidak dapat disangkal lagi kehandalannya dalam menaikkan dan mengharumkan nama Malaysia dimata didunia. Salah satu perkara yang tidak dapat aku lupakan ketika menonton perlawanan badminton ialah mendengar ulasan yang kadangkala kedengaran agak lucu dari pengulas-pengulas sukan yang terlibat. "Patah hati patahlah raket" demikianlah kata salah seorang pengulas perlawanan badminton itu lalu menyebabkan aku rasa ingin ketawa mendengarnya. Sehinggalah sekarang aku masih lagi teringat-ingat kata-kata pengulas itu setiap kali menonton perlawanan badminton.

Wednesday, 9 October 2013

Penangan nasi lemak..




Setiap kali aku pulang ke rumah kakakku, jika mempunyai waktu yang sesuai kami sekeluarga akan pergi berkelah di pantai ataupun sungai. Tidak lengkaplah jika perkelahan tidak disertakan sekali dengan bekalan sendiri yang dibawa dari rumah. Pada hari tersebut, kakakku yang begitu pakar dalam bidang masakan telah membuat menu yang special iaitu nasi lemak. Oleh kerana aku begitu meminati nasi lemak, kakakku telah membawa bekalan dengan begitu banyak sekali. Setelah siap bermandi manda, tanpa melengahkan masa lagi aku terus membuka dan memakan bekalan yang dibawa dengan penuh kenikmatan. Namun, kenikmatan itu hanya bersifat sementara apabila dengan secara tiba-tiba sahaja perut aku berasa tidak selesa dan lebih mencemaskan lagi kerana di kawasan sungai tersebut tidak disediakan tandas untuk pelancong. Akibat penangan nasi lemak itu, aku merasakan perutku telah mula meragam. Namun aku amat bernasib baik, kerana kakakku telah membawa minyak angin dan disitu terdapat tempat yang agak terlindung untuk aku menyapu minyak angin tersebut tanpa berasa segan silu. Selepas  dari kejadian itu, aku tidak lagi berani untuk makan nasi lemak sebelum pergi berkelah  ataupun sebelum menaiki bas terutamanya jika menuju ke mana-mana destinasi yang jauh.

Persembahan yang mencemaskan..



Seperti kebiasaan, perjumpaan dengan ahli-ahli kelab dan persatuan akan diadakan bagi mengatur program kolej yang bakal dilaksanakan tidak berapa lama lagi. Dalam kekecohan masing-masing melontarkan idea-idea secara spontan salah seorang daripada ahli telah mencadangkan untuk membuat persembahan tarian. Persembahan tarian? Oohh..tidak..aku menjadi salah seorang ahli yang membantah idea tersebut dengan penuh semangat. Ya, memang aku sengaja membantah. Ini kerana persembahan tarian sering membuatkan aku teringat kembali zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu. Waktu itu aku baru sahaja menghabiskan sesi pra sekolah atau lebih dikenali sebagai tadika kemas. Dipendekkan cerita, aku salah seorang pelajar terpilih untuk mengadakan persembahan tarian bagi meraikan "konvokesyen" tadika itu. Apabila telah tiba masa persembahan sebenar, pada mulanya aku begitu yakin dapat melakukan dengan terbaik namun satu kejadian telah terjadi dan membuat aku tidak pernah lupa tentang kejadian itu.Masakan tidak, tatkala sedang asyik menari di atas pentas,secara tiba-tiba selipar yang aku pakai telah tersangkut pada langsir yang menjadi tirai pentas. Pada waktu tersebut aku berusaha mencabut selipar tersebut secara diam-diam namun tetap tidak berhasil.Secara spontan dan tanpa berfikir panjang, aku terus menanggalkan selipar tersebut dari kakiku dan meneruskan tarian dengan berkaki ayam sahaja. Waktu itu adalah detik yang mencemaskan kerana aku masih lagi di atas pentas untuk membuat persembahan.Aku tahu rakan-rakanku yang lain turut menyedari kejadian tersebut. Seusai sahaja persembahan, mereka telah bertanyakan kepadaku apakah punca kejadian itu berlaku. Alasan yang aku berikan membuatkan rakan-rakanku ketawa terbahak-bahak. Alasanku hanyalah satu, selipar tersangkut pada langsir. Disebabkan oleh kejadian itu, aku tidak lagi berani untuk membuat persembahan tarian. Aku akui, secara peribadi aku mempunyai minat untuk menari, tetapi bukanlah untuk dijadikan tontonan umum. Bagi aku apabila seseorang itu menari dengan penuh semangat, secara tidak langsung dapat menghilangkan stress dalam diri seseorang dan juga turut dapat memberikan kepuasan diri apabila dapat menghafal langkah-langkah tarian dengan begitu kemas dan teratur.  

Cita-citaku yang terpendam..





Matahari sudah mula menunjukkan muka tetapi aku masih lagi bermalas-malasan untuk menyiapkan diri pergi ke kuliah pagi. Seusai sahaja solat subuh, tanpa sedar aku telah tertidur semula. Jam sudah menginjak ke angka 8. Aku masih lagi terhegeh-hegeh memakai bedak yang umpama kawah di atas bulan, sudah semestinya bedak lama yang lama itu akan ditamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi sejurus sahaja bila aku dapat membeli bedak baru nanti. Aku melihat jadual kelas yang bertempat di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Langkah yang disusun laju masih tidak dapat memberikan aku keputusan yang memuaskan apabila telah tiba lewat di kelas. Aku melihat dari ekor mataku seorang pensyarah yang kelihatan begitu berkaliber telah pun berdiri tegak dihadapan untuk memberikan syarahannya. Aku mula mengambil tempat dan sudah semestinya di meja belakang jika pelajar hadir lewat. Subjek ini aku ambil kerana tajuknya yang memberikan aku perasaan ingin tahu apakah silibus yang bakal di ajar oleh pensyarah ini. Setelah melihat perincian tugas melalui iFolio tempoh hari, makin meyakinkan aku untuk hadir ke kelas ini. Masakan tidak, kerana aku sebenarnya dalam diam begitu berkeinginan untuk menghasilkan novel sendiri. Namun aku tahu, proses bagi menghasilkan karya sesebuah novel bukanlah satu kerja yang mudah untuk dilaksanakan. Nah, hari ini aku berasa begitu berbangga kerana dapat berjumpa dengan salah seorang penulis novel yang begitu disegani, Prof. Madya Dr. Mawar binti Safei. Beliau menggunakan nama pena yang dikenali sebagai Mawar Shafei. Sememangnya nama beliau tidak asing lagi dalam bidang penulisan. Gaya pengajaran beliau secara tidak langsung menunjukkan beliau seorang yang begitu kreatif dan berjiwa dalam menulis bagi melahirkan karya-karya tersendiri dalam dunia penulisan. Aku begitu kagum dan tidak dapat tidak, aku berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi cerita dengan seorang penulis yang tanpa jemu mengeluarkan ilham-ilham yang kreatif lagi bermotivasi. Jauh di sudut hati, aku berharap suatu hari nanti aku juga dapat menjadi seorang penulis yang berkaliber seperti beliau. Tidak lokek untuk mencurahkan ilmu didada. Secara tidak langsung telah mengimbau kembali kenangan tentang cita-citaku yang terpendam sejak dulu, iaitu ingin menjadi seorang penulis novel yang berbakat suatu hari nanti. Semoga menjadi realiti. InsyaAllah..

kelahiran blog nostalgia bagi subjek Penulisan Kreatif..





Assalamualaikum sebagai pembuka bicara. Blog ini dihasilkan adalah bertujuan untuk mengikuti arahan kerja yang diwajibkan kepada setiap pelajar yang mengambil subjek Penulisan Kreatif (SKMM 2083) set 2, bagi sesi 2013/2014. Prof. Madya Dr. Mawar binti Safei adalah pensyarah bagi subjek ini. Tema yang beliau ingin kami lakukan dalam proses menghasilkan blog ini ialah nostalgia. Maka, akan tercetuslah pelbagai cerita yang mengimbau kembali nostalgia lama. Terima kasih kepada anda yang sudi singgah dan seterusnya membaca setiap entry yang bakal saya coretkan selepas ini. Saya juga amat berbesar hati sekiranya anda sudi memberikan komen di ruangan komen yang telah disediakan. Selamat membaca! :)