Tuesday, 21 January 2014

Hanyalah getah gelang..




Aku selalu mengumpul getah gelang. Mungkin sesetengah orang memanggilnya getah tempe atau bermacam-macam lagi gelarannya. Aku gemar mengumpul getah gelang kerana merasakan getah gelang mempunyai banyak kegunaannya. Di antara kegunaan getah gelang ialah mengikat bungkusan dan boleh juga digunakan untuk mengikat rambut. Tetapj berlainan pula jika aku mengingati zaman kanak-kanakku dahulu. Aku dan rakan-rakanku menggunakan getah gelang untuk dijadikan alat permainan. Getah akan disambung kemudian dijadikan seperti tali. Begitu indah nostalgia di saat aku bermain getah gelang bersama rakan-rakan, walaupun itu hanyalah getah gelang.

Cerek berbunyi..



Cerek berbunyi? Pasti ada segelintir orang yang tidak tahu bagaimana bentuk cerek berbunyi. Bahkan mungkin juga ada orang yang langsung tidak tahu tentang kewujudan cerek berbunyi. Bagi aku yang pernah menggunakannya, cerek berbunyi memberikanku pelbagai nostalgia yang tidak dapat dilupakan. Masih aku ingat sewaktu kecil dahulu, setiap kali aku ingin mandi di waktu pagi sebelum ke sekolah, ibuku akan menggunakan cerek berbunyi ini untuk menjeram air panas. Cerek ini akan berbunyi menandakan air telah masak. Mungkin cerek ini telah diubahsuai mengikut arus kemodenan pada masa kini. Cerek berbunyi adalah antara barangan yang telah mengukir nostalgiaku sewaktu aku masih kecil dahulu.

Bercuti di tepi pantai




Sewaktu aku masih kecil, keluargaku sering melakukan aktiviti riadah seperti bercuti di tepi pantai. Selalunya lokasi yang keluargaku pergi ialah di Kuantan, Pahang. Terdapat banyak pantai-pantai menarik yang boleh dilawati antaranya ialah Teluk Cempedak dan Batu Hitam. Jika dulu pantainya masih bersih dan aman damai. Tetapi kini tidak begitu menyenangkan kerana terdapat banyak pencemaran akibat daripada perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Setiap kali aku pergi ke pantai, pasti akan mengimbau kembali nostalgia lamaku bersama keluarga beriadah di tepi pantai. Begitu membahagiakan!

Kuih tradisional terbaik





Setiap kali tiba hujung minggu, aku sering mengikut kakakku ke pasar untuk membeli kuih-muih tradisional. Kami membeli pelbagai jenis kuih-muih untuk dijadikan sarapan pagi. Aku tidak melepaskan peluang untuk membeli nasi lemak yang dibungkus menggunakan daun pisang. Aku begitu menggemarinya. Aku sendiri pun tidak pasti mengapa. Tetapi bagi aku, kuih-muih dan makanan tradisional mempunyai daya tarikan yang tersendiri sehingga mampu memikat selera setiap mata yang memandang. Makanan moden tidak mungkin dapat untuk menandingi kehebatan makanan tradisional. Sememangnya terbaik!

Kucingku sayang, Putih.





Kenapa aku suka kucing? Sebab kucing comel, sebab kucing manja, sebab kucing seronok dibawa bermain..dan.. macam-macam lagi sebab kenapa aku suka kucing. Baru-baru ini, kakakku menceritakan mengenai jirannya yang telah memukul seekor kucing sehingga terpaksa dikejarkan ke klinik haiwan untuk diberikan rawatan. Kecederaan yang dialami kucing tersebut agak serius, kerana telah dipukul sehingga hampir terkeluar biji matanya. Mungkin bunyinya agak kelakar. Tetapi bagi aku, perkara tersebut adalah tidak berperikemanusiaan. Aku turut berasa simpati atas nasib yang diterima oleh kucing tersebut. Lantas membuatkan aku teringat kepada kucing kesayanganku pada suatu ketika dahulu yang bernama Putih. Aku menamakannya putih kerana bulunya yang berwarna putih dan mempunyai tapak kaki berwarna hitam seakan-akan stokin. Sungguh comel. Aku menjumpai Putih sewaktu usiaku 11 tahun. Tetapi jangka hayatnya tidak lama. Hanya 3 tahun selepas itu Putih telah aku temui mati di belakang rumah nenekku. Aku berasa begitu sedih dengan kematian Putih. Bagi aku, Putih seekor kucing yang begitu setia dan manja yang tidak akan aku  lupakan sampai bila-bila. Walaupun telah tiada, Putih sentiasa dihatiku.

Monday, 20 January 2014

Jom Memancing!!






Cuti semester sudah bermula. Aku seperti biasa akan pulang ke kampung. Bahagia sungguh terasa apabila kepulangan disambut anak-anak buahku yang comel-comel belaka. Waktu cuti begini aku lebih selesa menghabiskan masa duduk di rumah menjaga anak buah dan membantu kakakku melakukan kerja rumah. Pada suatu petang, sedang asyik aku melayani anak buahku bermain di luar rumah, aku ternampak beberapa orang kanak-kanak sedang berkumpul beramai-ramai di tepi taman. Apabila diamati betul-betul, barulah aku tahu rupa-rupanya terdapat sekumpulan kanak-kanak yang memancing ditepi taman yang mempunyai parit itu. Aku lihat mereka menggunakan batang kayu untuk dijadikan batang pancing.
Aku masih teringat sewaktu kecil dahulu, aku sering mengikut nenekku pergi memancing di tepi paya. Aku melihat nenekku mengambil batang pokok salak untuk dijadikan batang pancing. Mungkin kerana teksturnya lebih ringan dan panjang berbanding dengan batang pokok yang lain. Boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku mengikut nenekku pergi memancing. Aku begitu seronok apabila dapat memancing pelbagai jenis ikan. Tetapi jika air paya surut, maka tidak dapatlah aku dan nenekku pergi ke paya untuk memancing. Sehingga kini, aku masih gemar memancing. Jika kawan-kawanku mengajak untuk pergi memancing, akulah antara orang yang paling excited untuk menyertainya. hehe.. Jom pergi memancing!  

Thursday, 2 January 2014

Kampung girl







Aku budak kampung. Aku suka menyatakan bahawa aku adalah orang kampung. Dengan nada bangga aku mengumumkan. Aku sememangnya kampung girl. Walaupun aku tidak berada di kampung sepanjang sesi persekolahan, tetapi aku sentiasa pulang setiap kali mendapat cuti panjang. Kesibukan tugas menyebabkan aku sukar untuk meluangkan masa pulang ke kampung. Apabila berpeluang pulang ke kampung, pelbagai aktiviti yang aku lakukan bersama keluarga tersayang. Begitu aman dan damai kampungku. Bahagia sekali.

Gambar lama




Gambar-gambar lama sememangnya mengingatkan aku kepada nostalgia sewaktu masih kecil. Aku sering melihat gambar lamaku. Seakan tidak percaya. Kini sudah menginjak dewasa. Bukan lagi si comel seperti di dalam gambar itu. Aku bukan lagi yang dahulu. Itulah realitinya. Gambar lama itu aku simpan untuk dijadikan kenangan di masa hadapan. Gambar-gambar lama itu juga turut tersimpan seribu satu nostalgia yang sukar diungkap dengan kata-kata! 

Oppss sorry..liquid paper itu..





Setelah tamat waktu rehat, seperti biasa aku akan bersiap sedia di dalam kelas untuk menunggu kehadiran guru yang akan mengajar selepas itu. Aku membelek-belek liquid yang tidak mahu mengeluarkan dakwat. Aku mendapat satu idea. Aku terus mengetuk liquid tersebut di atas meja, dengan harapan liquid itu akan keluar. Namun, malang tidak berbau. Secara tiba-tiba liquid yang aku ketuk itu telah pecah. Hampir seluruh kain sekolah aku di penuhi liquid. Rakan sebelahku terkena tempias. Amoi (pelajar Cina) yang duduk di bahagian meja belakangku juga turut terkena liquid tersebut pada rambut mereka. Begitu mengejutkan aku. Lalu aku terus meminta maaf, agar mereka yang terkena liquid tersebut dapat menerima kesalahanku yang tidak disengajakan itu. Nostalgia yang agak tragis bagi aku.hehe

Tadika yang dirindui





Jika ingin memasuki sekolah rendah, sudah pasti setiap orang akan memasuki sekolah tadika terlebih dahulu. Apabila di tadika, pelajar akan diajar untuk mengenal huruf abjad A-Z. Aku masih teringat, sewaktu aku belajar di tadika berasa begitu menyeronokkan. Ini kerana belajar di tadika di selangi dengan aktiviti bermain di taman tadika. Setiap kali aku pulang ke kampung, aku pasti akan melalui jalan melintasi tadika. Membuatkan aku begitu rindu. Rindu akan nostalgia di tadika pada suatu ketika dahulu. Sungguh aku rindu!

Baju sekolah canggih




Apabila masuknya tahun baru, para ibubapa pasti sibuk melayani anak-anak terutamanya yang masih bersekolah. Antaranya ialah misi mencari baju sekolah baru yang murah, selesa dan sesuai untuk dipakai. Membeli baju sekolah adalah satu perkara yang agak rumit dilakukan. Begitu memeningkan kepala apatah lagi jika sudah tiada saiz dan baju yang berkenan dek hati. Terpaksalah meronda satu bandar. Aku masih teringat pada suatu ketika dahulu, aku pernah membeli baju sekolah jenama canggih. Terpaksa beli kerana baju jenama lain sudah kehabisan stok.Itulah akibat membeli last minute. Maka aku pun membeli sahajalah baju sekolah tersebut. Baju sekolah jenama canggih. Harga pun canggih sebab mahal. Pengajarannya untuk sesiapa yang ingin membeli baju sekolah, dinasihatkan membuat persiapan awal. :)  

Walkman dulu-dulu





Jika pergi ke pasar malam pasti terdapat orang yang menjual barangan elektronik. Sewaktu aku masih sekolah rendah, walkman adalah antara gajet yang begitu popular untuk dimiliki. Aku begitu gembira kerana aku dapat memiliki walkman. Ayahku telah membelinya untukku. Setiap malam aku mendengar radio melalui walkman. Begitu bahagia rasanya. Tetapi kini segalanya sudah berubah. Bukan lagi zaman walkman. Tetapi kini ialah zaman smartphones,tablet, ipod dan pelbagai lagi alat elektronik canggih. Aku hanya mampu tersenyum sendiri mengingatkan nostalgia memiliki walkman. Aku begitu menghargainya. Bagi aku, walkman dulu-dulu tetap best!

Asam jawa pun boleh...





Setiap kali turun ke dapur untuk membantu kakakku memasak aku pasti akan teringatkan sesuatu terutamanya jika terlihat asam jawa. Terdapat nostalgia lucu yang tidak dapat aku lupakan. Sewaktu masih duduk di asrama sekolah dahulu, aku sering membeli asam jawa. Tujuannya adalah untuk dimakan begitu sahaja bersama-sama kawan-kawan. Kami makan beramai-ramai dengan menganggap asam jawa adalah makanan ringan. Jika diingatkan kembali, semua nostalgia itu adalah begitu melucukan. Aku akan sentiasa ingat, kenangan makan asam jawa itu.hehe..asam jawa pun boleh.. :)

Aku suka tempe! ^^





Tempe. Siapa yang tidak suka tempe silalah mula merasa. Aku akui, pada mulanya memang sukar untuk mula meminati tempe. Agak asing bagiku kerana aku tidak biasa makan tempe semenjak kecil. Lagi pula aku tidak minum soya. Tempe asalnya dari soya. Aku masih ingat lagi di saat kawan-kawanku mengajak aku makan tempe. Pada permulaan menolak. Namun lama-kelamaan aku jadi begitu gemar. Bahkan boleh makan tempe dengan begitu sahaja. Aku suka tempe!





Selamat Hari Jadi..!

Tinggal beberapa jam sahaja lagi umur aku akan bertambah. Semakin tua. Semakin mencabar. Namun dalam hati amat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas sehingga ke hari ini. Esok 3 Januari 2014 adalah hari lahirku. Masih ingat lagi, ketika aku berumur 9 tahun, arwah ibuku telah membelikan kek sempena hari jadiku. Tapi itu dulu. Sekarang tidak lagi. Hanya menyambut secara ringkas sahaja. Paling tidak pun, buat makan-makan bersama keluarga ataupun kawan-kawan. Cukuplah sekadar ingatan. Itu adalah hadiah yang tidak ternilai bagiku. Semoga di usia yang makin meningkat ini, aku akan lebih matang dan tabah dalam menghadapi cabaran hidup.