Tuesday, 31 December 2013
Selamat Tahun Baru!
Alhamdulillah..
Itulah ayat yang pertama aku ucapkan setelah jarum jam menginjak ke detik 12.01 malam. Menandakan sudah memasuki tahun baru. Tahun 2014, meninggalkan tahun 2013 dengan seribu satu nostalgia. Sambutan tahun baru disambut meriah dari segenap sudut. Seakan tidak percaya, begitu pantas masa berlalu.
Setiap kali tahun baru, pasti mengingatkan aku kepada kenangan sewaktu masih belajar di Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP). Pelbagai perasaan yang dirasai. Kebiasaannya aku akan bersama dengan sahabat handai untuk bercerita mengenai azam tahun baru masing-masing. Sudah tentu masing-masing sentiasa inginkan kejayaan terus dilakar dan sentiasa berkembang setiap kali hadirnya tahun baru.
Tahun baru. Azam baru. Semangat baru. Semoga kejayaan terus mengiringi dan mengukir pelbagai nostalgia indah!
Saturday, 21 December 2013
bawal oh bawal..
Jam menunjukkan
hampir ke detik 1 tengahari. Sedang asyik aku membuat latihan dan kerja yang
diberikan oleh pensyarah, tiba-tiba perut berkeroncong minta di isi. Tanpa
melengahkan masa lagi aku mengajak rakan-rakan untuk terus menuju ke kafetaria
kolej yang menjual pelbagai hidangan. Semua lauk-pauk yang dihidangkan nampak
begitu menyelerakan, lebih-lebih lagi perutku masih belum terisi dengan apa-apa
makanan sejak dari pagi tadi. Tiba-tiba mataku tertancap pada satu hidangan yang
terus membuatkan aku tersenyum sendirian.Ya, itulah lauk ikan bawal.
Ikan bawal yang membawa kembali kenangan sewaktu umurku masih lagi di sekolah
rendah. Pada masa itu secara tidak langsung telah menunjukkan pemikiran
kanak-kanakku yang begitu terserlah dan hanya menurutkan kata hati sahaja.
Masakan tidak, masihku ingat lagi ketika itu jiran sebelah rumahku telah
mengajak aku dan kakakku untuk makan tengahari dirumah mereka. Ketika itu lauk
yang dihidangkan oleh jiranku adalah ikan bawal masak kicap. Oleh kerana aku
begitu berselera menikmati lauk ikan bawal yang telah dihidangkan mereka pada
waktu itu,secara spontan aku pun berkata "ermmm..sedapnye ikan ni..nanti
bila adik dah besar nanti adik nak beli ikan ni lah.." lalu
membuatkan semua yang ada dimeja makan waktu itu ketawa terbahak-bahak. Lantas
diminda kecilku ketika itu berkata, "apa salahnya jika aku ingin
bercita-cita untuk membeli ikan bawal ketika besar nanti?" Namun, apabila
umurku sudah menginjak dewasa dan semakin matang, barulah aku tahu bahawa
monologku itu terlalu kebudak-budakkan. Walhal, jika dilihat dimana-mana kedai
atau pasar terdapat begitu banyak lambakkan ikan bawal yang dijual. Kini aku mulai faham, akal pemikiran kanak-kanak sememangnya tidak begitu panjang
sepertimana orang dewasa. Bawal oh bawal..
Wednesday, 4 December 2013
Sahabat kecilku
Hari Raya Aidilfitri telah beberapa bulan berlalu namun, ingatanku masih segar teringatkan suatu peristiwa.
Setiap tahun, seluruh umat Islam pasti akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa. Aku juga tidak melepaskan peluang menyambutnya bersama-sama ahli keluarga di kampung. Pada hari raya pertama aku mengikut kakakku berjalan ke rumah jiran-jiran. Pada hari raya kedua barulah aku dan kakakku pulang ke kampung.
Pagi itu, aku begitu sibuk membantu kakakku di dapur tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam. Aku tergesa-gesa menjenguk siapakah yang datang bertandang. Alangkah terkejutnya aku apabila orang yang bertandang itu adalah sahabat karibku sejak kecil. Hampir menangis aku dibuatnya. Masakan tidak, kami telah membawa haluan masing-masing semenjak berumur 10 tahun. Setiap kali pulang ke kampung kami tidak berpeluang untuk bertemu dek kerana terlalu sibuk dengan urusan masing-masing. Kini, setelah hampir lebih sepuluh tahun, kami bertemu kembali. Gembira sungguh rasa hatiku tak dapat digambarkan. Pelbagai kisah yang kami bualkan. Kenangan waktu kecil kami imbau kembali. Begitu banyak kenangan manis. Apa yang lebih mengejutkan lagi, sahabatku hadir membawa perkabaran gembira. Sahabatku bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Aku berasa begitu teruja mendengar perkabaran itu. Di dalam hati, aku mengucapkan syukur dan mendoakan agar perjalanan majlis sahabatku mendirikan masjidnya tidak lama lagi berjalan lancar dan semoga sahabatku berbahagia disamping yang tersayang.
Subscribe to:
Posts (Atom)