Tuesday, 21 January 2014
Hanyalah getah gelang..
Cerek berbunyi..
Cerek berbunyi? Pasti ada segelintir orang yang tidak tahu bagaimana bentuk cerek berbunyi. Bahkan mungkin juga ada orang yang langsung tidak tahu tentang kewujudan cerek berbunyi. Bagi aku yang pernah menggunakannya, cerek berbunyi memberikanku pelbagai nostalgia yang tidak dapat dilupakan. Masih aku ingat sewaktu kecil dahulu, setiap kali aku ingin mandi di waktu pagi sebelum ke sekolah, ibuku akan menggunakan cerek berbunyi ini untuk menjeram air panas. Cerek ini akan berbunyi menandakan air telah masak. Mungkin cerek ini telah diubahsuai mengikut arus kemodenan pada masa kini. Cerek berbunyi adalah antara barangan yang telah mengukir nostalgiaku sewaktu aku masih kecil dahulu.
Bercuti di tepi pantai
Sewaktu aku masih kecil, keluargaku sering melakukan aktiviti riadah seperti bercuti di tepi pantai. Selalunya lokasi yang keluargaku pergi ialah di Kuantan, Pahang. Terdapat banyak pantai-pantai menarik yang boleh dilawati antaranya ialah Teluk Cempedak dan Batu Hitam. Jika dulu pantainya masih bersih dan aman damai. Tetapi kini tidak begitu menyenangkan kerana terdapat banyak pencemaran akibat daripada perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Setiap kali aku pergi ke pantai, pasti akan mengimbau kembali nostalgia lamaku bersama keluarga beriadah di tepi pantai. Begitu membahagiakan!
Kuih tradisional terbaik
Setiap kali tiba hujung minggu, aku sering mengikut kakakku ke pasar untuk membeli kuih-muih tradisional. Kami membeli pelbagai jenis kuih-muih untuk dijadikan sarapan pagi. Aku tidak melepaskan peluang untuk membeli nasi lemak yang dibungkus menggunakan daun pisang. Aku begitu menggemarinya. Aku sendiri pun tidak pasti mengapa. Tetapi bagi aku, kuih-muih dan makanan tradisional mempunyai daya tarikan yang tersendiri sehingga mampu memikat selera setiap mata yang memandang. Makanan moden tidak mungkin dapat untuk menandingi kehebatan makanan tradisional. Sememangnya terbaik!
Kucingku sayang, Putih.
Kenapa aku suka kucing? Sebab kucing comel, sebab kucing manja, sebab kucing seronok dibawa bermain..dan.. macam-macam lagi sebab kenapa aku suka kucing. Baru-baru ini, kakakku menceritakan mengenai jirannya yang telah memukul seekor kucing sehingga terpaksa dikejarkan ke klinik haiwan untuk diberikan rawatan. Kecederaan yang dialami kucing tersebut agak serius, kerana telah dipukul sehingga hampir terkeluar biji matanya. Mungkin bunyinya agak kelakar. Tetapi bagi aku, perkara tersebut adalah tidak berperikemanusiaan. Aku turut berasa simpati atas nasib yang diterima oleh kucing tersebut. Lantas membuatkan aku teringat kepada kucing kesayanganku pada suatu ketika dahulu yang bernama Putih. Aku menamakannya putih kerana bulunya yang berwarna putih dan mempunyai tapak kaki berwarna hitam seakan-akan stokin. Sungguh comel. Aku menjumpai Putih sewaktu usiaku 11 tahun. Tetapi jangka hayatnya tidak lama. Hanya 3 tahun selepas itu Putih telah aku temui mati di belakang rumah nenekku. Aku berasa begitu sedih dengan kematian Putih. Bagi aku, Putih seekor kucing yang begitu setia dan manja yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. Walaupun telah tiada, Putih sentiasa dihatiku.
Monday, 20 January 2014
Jom Memancing!!
Cuti semester sudah bermula. Aku seperti biasa akan pulang ke kampung. Bahagia sungguh terasa apabila kepulangan disambut anak-anak buahku yang comel-comel belaka. Waktu cuti begini aku lebih selesa menghabiskan masa duduk di rumah menjaga anak buah dan membantu kakakku melakukan kerja rumah. Pada suatu petang, sedang asyik aku melayani anak buahku bermain di luar rumah, aku ternampak beberapa orang kanak-kanak sedang berkumpul beramai-ramai di tepi taman. Apabila diamati betul-betul, barulah aku tahu rupa-rupanya terdapat sekumpulan kanak-kanak yang memancing ditepi taman yang mempunyai parit itu. Aku lihat mereka menggunakan batang kayu untuk dijadikan batang pancing.
Aku masih teringat sewaktu kecil dahulu, aku sering mengikut nenekku pergi memancing di tepi paya. Aku melihat nenekku mengambil batang pokok salak untuk dijadikan batang pancing. Mungkin kerana teksturnya lebih ringan dan panjang berbanding dengan batang pokok yang lain. Boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku mengikut nenekku pergi memancing. Aku begitu seronok apabila dapat memancing pelbagai jenis ikan. Tetapi jika air paya surut, maka tidak dapatlah aku dan nenekku pergi ke paya untuk memancing. Sehingga kini, aku masih gemar memancing. Jika kawan-kawanku mengajak untuk pergi memancing, akulah antara orang yang paling excited untuk menyertainya. hehe.. Jom pergi memancing!
Thursday, 2 January 2014
Kampung girl
Aku budak kampung. Aku suka menyatakan bahawa aku adalah orang kampung. Dengan nada bangga aku mengumumkan. Aku sememangnya kampung girl. Walaupun aku tidak berada di kampung sepanjang sesi persekolahan, tetapi aku sentiasa pulang setiap kali mendapat cuti panjang. Kesibukan tugas menyebabkan aku sukar untuk meluangkan masa pulang ke kampung. Apabila berpeluang pulang ke kampung, pelbagai aktiviti yang aku lakukan bersama keluarga tersayang. Begitu aman dan damai kampungku. Bahagia sekali.
Subscribe to:
Posts (Atom)